PERANG tarif antara AS dan China akan memberikan kesan kepada ekonomi global. Apakah kesan segera perang dagangan ini terhadap Malaysia?

Jomo: Kita tidak patut terlibat dalam perang tarif ini, tetapi harus bersiap sedia kalaulah peluang baharu timbul akibat perang itu. Misalnya, untuk menggantikan eksport China ke AS dengan eksport Malaysia.
Yang anehnya, ketika pemerintahan BN Najib pernah membenarkan syarikat-syarikat asing, dari China dan Thailand, mengaku eksport mereka berpunca dari Malaysia. Akhirnya, AS telah pun menghadkan import yang kononnya dari Malaysia itu seperti udang dan madu.
Penipuan demikian mungkin meningkatkan angka eksport Malaysia ke AS, tetapi tidak mendatangkan sebarang faedah kepada kita, kecuali bagi usahawan dan pegawai yang mengambil kesempatan untuk menjadi kaya.
Nilai ringgit semakin menyusut. Apa kesannya terhadap ekonomi negara dan adakah ini bersifat sementara? Apa yang perlu dibuat bagi memulih nilai ringgit?
Jomo: Kebanyakan ekonomi pasaran yang sedangmuncul telah mendapat modal dari ekonomi negara maju apabila bank pusat negara itu menurunkan kadar bunga kepada paras yang rendah untuk menghidupkan semula ekonomi mereka.
Setelah kadar bunga dinaikkan semula oleh AS pada tahun lalu, modal telah mula mengalir ke sana. Ini menyebabkan kadar tukaran matawang lain menyusut. Saya bukan ahli nujum dan tidak berani meramalkan masa depan mata wang RM.
Usaha mempertahankan nilainya pada paras tertentu akan makan belanja yang besar, dan akhirnya, barangkali akan gagal. Biar pasaran menentukan kadar tukarannya kerana pasang-surut demikian bersifat sementara walaupun mungkin mengambil tempoh agak lama.
Sekarang, semua orang memahami pasaran itu bukan hanya penawaran dan permintaan sebenar, tetapi melibatkan banyak faktor lain juga, termasuk prasangka serta kepercayaan lain. Pasaran itu dapat membantu, misalnya dengan mengadakan persaingan, yang boleh meningkatkan kecekapan serta daya pengeluaran. Tetapi kuasa dunia yang bermaharajalela juga boleh menjahanamkan ekonomi terlalu terbuka,seperti kita pernah alami dahulu.
Pada pandangan Prof. adakah ekonomi lebih baik dengan pelaksanaan semula SST menggantikan GST?
Jomo: Kedua-duanya merupakan cukai terhadap penggunaan, yang merupakan cukai tidak langsung yang paling luas dipakai oleh kerajaan dewasa ini. Tetapi semua ahli ekonomi tahu bahawa cukai tidak langsung kurang adil dibanding dengan cukai langsung, seperti cukai pendapatan, cukai harta, dan sebagainya. Orang berpendapatan rendah membayar lebih banyak cukai penggunaan secara relatifnya berbanding dengan orang kaya, yang hanya membelanjakan bahagian yang lebih kecil daripada pendapatan mereka.
Allahyarham Profesor Dr. Ismail Md. Salleh pernah menunjukkan bahawa agihan pendapatan setelah semua cukai dikenakan lebih tidak adil berbanding dengan sebelum cukai dikenakan. Ketidakadilan kesan cukai ini telah bertambah teruk sejak tahun 1960-an, terutamanya sejak pertengahan tahun 1980-an ketika kadar cukai langsung terhadap orang kaya dikurangkan.
Tiada sesiapa yang boleh menafikan bahawa sistem GST telah memburukkan lagi ketidakadilan kesan cukai ini. Namun, antara cukai penggunaan, sistem cukai VAT (value added taxation atau cukai nilai tambah) merupakan cara yang lebih cekap. Maka, kalaulah cukai penggunaan ingin dikekalkan, sistem VAT lebih berkesan dibanding SST.
Sistem VAT boleh dipinda supaya menjadi kurang tidak adil, misalnya dengan mengecualikan barang keperluan, terutamanya makanan rakyat, dan perniagaan sederhana-kecil. Kadar cukai yang berlainan juga boleh dikenakan, contohnya, cukai yang lebih tinggi terhadap perkhidmatan yang dipakai orang kaya.
Memandangkan sistem GST sejenis VAT, telah diperkenalkan di Malaysia beberapa tahun lalu, dan kebanyakan perniagaan sederhana telah membeli sistem komputer untuk mengenakan GST, Kerajaan PH patut menggantikan GST Najib dengan sistem VAT lain untuk mengenakan cukai dengan sistem yang dibeli-pakai perniagaan, tetapi dipinda supaya kurang tidak adil dan kurang membebankan rakyat jelata.










