Sembunyi wang RM18,000,jurukimpal dipenjara - Utusan Malaysia

Sembunyi wang RM18,000,jurukimpal dipenjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA 17 Okt. – Seorang jurukimpal dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan wang milik seorang lelaki berjumlah RM18,700, bulan lalu.

Mohammad Fahmi Shahrul Aruwar dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah menerima wang milik Bong Lan Chin, 39, ke dalam akaun bank kepunyaannya sedangkan tertuduh mengetahui wang tersebut bukan miliknya di CIMB Taman Kinrara, Puchong Jaya, di sini, antara pukul 9.54 pagi dan pukul 7.32 malam, 9 hingga 11 September lalu.

Lelaki berusia 21 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Peguam Yusri Yusoff yang mewakili tertuduh sebelum itu memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya menjadi mangsa pihak ketiga sementara Timbalan Pendakwa Raya, Mary Phoon Keat Mee memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan ke atas tertuduh.

Mengikut fakta kes yang dikemukakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh, tertuduh telah memberikan kad bank miliknya kepada ibunya dan kad tersebut telah diberikan kepada orang ketiga yang merupakan anggota sindiket.

Difahamkan, tertuduh turut menghadapi 13 pertuduhan lain berhubung sindiket sama dengan kerugian sebanyak RM130,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN