Sekembalinya Anwar ke Parlimen, relevankah Wan Azizah sebagai TPM? - Utusan Malaysia

Sekembalinya Anwar ke Parlimen, relevankah Wan Azizah sebagai TPM?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 15 Okt. – Sekembalinya bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen hari ini menimbulkan persoalan sama ada isteri beliau, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail masih kekal relevan untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

SYED MOHD JOHAN RIZAL SYED UNAN MASHRI
SYED MOHD JOHAN RIZAL SYED UNAN MASHRI 

Ketua Penerangan UMNO Negeri, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, sebelum ini kebiasaannya jawatan tersebut dipegang oleh pemimpin paling senior dalam parti yang membentuk kerajaan.

“Dalam tempoh tidak berapa lama lagi, Wan Azizah tidak akan memegang jawatan utama dalam PKR. Melainkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak kisah tentang kedudukannya dalam parti, sewajarnya beliau mengosongkan kerusi Timbalan Perdana Menteri dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Lagi pun Wan Azizah dilihat tidak berperanan sebagai orang nombor dua yang cekap dan berada di situ tanpa menunjukkan prestasi cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, sejak mengambilalih kerajaan, PH dilihat masih lagi dibelenggu permainan politik sehingga memberi kesan terhadap pentadbiran kerajaan.

“Negara masih terumbang-ambing dengan prestasi ekonomi menunjukkan prospek tidak baik. Liputan media antarabangsa mengenai Malaysia juga berkisar mengenai masalah politik dan beberapa perkara lain berbanding pencapaian negara.  

“Impaknya menjejaskan keseluruhan rakyat. Begitu pun diharapkan dengan kembalinya Anwar ke Parlimen seterusnya menjadi Perdana Menteri kelapan pencapaian negara akan dikembalikan ke landasan sebenar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN