Sebab buah pinggang rosak, kanser kulit - Utusan Malaysia

Sebab buah pinggang rosak, kanser kulit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAM di dinding menunjukkan tepat pukul 1.30 tengah hari. Aleeya (bukan nama sebenar) lantas mencapai tuala lalu menutup kepala dan sebahagian mukanya untuk keluar rumah menuju ampaian yang terletak tidak sampai 10 tapak dari rumahnya.

Dia ingin mengangkat kain yang sudah disidai sejak subuh. Walaupun tempat kain jemurannya tidaklah sejauh mana, gadis berusia 28 tahun itu masih menutup kepala dan muka kerana tidak tahan dengan panas dan terik matahari.

Rutin itu berlaku sejak dua bulan lalu selepas Aleeya yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan menggunakan produk penjagaan wajah tidak diiktiraf.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata anak sulung daripada lima beradik tersebut, dia telah menggunakan produk yang dibeli di kios sebuah pasar raya di Kota Damansara, Selangor dan menggunakannya selama tiga bulan sebelum kejadian yang diibaratkan ngeri itu berlaku dalam hidupnya.

“Pada bulan pertama pakai memang kesannya amat menakjubkan. Saya pakai sabun pencuci muka dan penyegar wajah. Kulit memang jadi licin, berseri dan bebas jerawat tetapi masuk bulan kedua dan ketiga, kulit saya sudah mula menunjukkan tanda-tanda merah seperti kesan terbakar dan menggelupas.

“Bila saya pergi tanya orang yang jual itu, dia kata kesan biasa sebab kulit nak tumbuh baharu, sebab tu pedih. Saya pula bodoh kerana percaya dan terus pakai hingga habis,” katanya yang perlu sentiasa tampil menawan kerana berada di lapangan kerja sebagai pembantu jualan syarikat penapis air popular di negara ini.

Tambah Aleeya, dia mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan wajahnya, lantas membuat pencarian di internet dan menemui satu video YouTube berjudul ‘Krim Timbang Kilo’ yang dimuat naik oleh seorang ahli farmasi, Siti Hawa Mohd. Nor.

Video berdurasi dua minit 25 saat itu memberi penjelasan dengan cara yang paling mudah untuk mengesan produk-produk kecantikan dan penjagaan wajah tiruan serta tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menerusi video itu, Siti Hawa yang bertugas di Hospital Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, Pahang memberi peringatan kepada orang ramai yang masih tidak menyedari mengenai produk kosmetik yang mengandungi bahan berbahaya dan tinggi kandungan kimia.

Kandungan kimia

Menurut Siti Hawa lagi, kebanyakan krim muka yang dijual secara ‘timbang kilo’ boleh dibeli secara pukal dari luar negara terutamanya China, Indonesia dan Thailand. Ia kemudian dibotolkan semula mengikut jenama masing-masing sebelum dijual ke pasaran terutamanya melalui media sosial Instagram dan Facebook.

Siti Hawa turut memberi tip mengenal pasti produk tiruan berkenaan antaranya pengguna boleh melihat pada tekstur, warna dan cara pembungkusan sesuatu jenama produk itu.

Tekstur bahan tiruan lazimnya mempunyai warna yang lebih kurang sama seperti putih, kuning atau hijau, bersinar dan agak pekat.

Malah, apabila terdedah pada udara, teksturnya mudah berubah. Bekasnya pula agak murah dan boleh didapati di kedai pembekal barangan plastik.

Aleeya boleh dikatakan bernasib baik kerana kesan penggunaan produk tiruan berkenaan hanya menyebabkan iritasi pada kulit wajahnya. Ini kerana, ada antara kesan sampingan penggunaan produk tiruan yang lebih teruk sehingga mengganggu kesihatan seperti merosakkan buah pinggang dan mendapat kanser kulit.

Konsultan Dermatologi Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr. Ch’ng Chin Chwen berkata, kesan kandungan bahan terlarang yang terdapat dalam sesuatu produk mungkin tidak nampak dalam jangka masa pendek kerana ia telah meresap ke dalam badan.

“Salah satu contoh bahan yang boleh mendatangkan kemudaratan pada kesihatan ialah kandungan merkuri. Merkuri lazimnya boleh didapati dalam produk antipenuaan dan pencerahan wajah, ia boleh menyebabkan ketoksikan merkuri.

Penyelidikan

“Paling buruk jika ia digunakan ibu mengandung. Merkuri boleh meresap ke dalam darah dan mengalir pada bayi dalam rahim. Ia akan menyebabkan bayi terdedah kepada penyakit dan mengalami kerosakan otak,” terangnya.

Kata Chin Chwen lagi, contoh bahan berbahaya lain ialah triklosan dan triclocarbon yang mudah didapati dalam pencuci wajah. Bahan-bahan itu boleh mengganggu hormon tiroid manakala, hidrokuinon iaitu ejen pemutih yang dapat mencerahkan wajah seawal tujuh hari boleh menyebabkan kulit bertukar kusam dan menjadi gelap dalam jangka masa panjang.

“Ramai pengguna di luar sana mahu mendapatkan kulit yang cantik, licin, bebas jerawat dan berseri dalam tempoh singkat tanpa membuat kaji selidik terlebih dulu terhadap produk yang dipakai.

“Sekiranya pengguna tidak berhenti, pelbagai masalah lain boleh timbul. Pengguna tidak boleh menilai produk berdasarkan testimoni serta kesan jangka pendek semata-mata,” nasihatnya.

Sementara itu, menurut pengusaha kecantikan tempatan, Meera Nordin, pihaknya mengambil masa setahun untuk melakukan ujian penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebelum memasarkan pencuci muka dan serum wajah.

“Bukan mudah untuk menghasilkan produk penjagaan wajah kerana ia melibatkan bahan-bahan yang perlu dikaji secara mendalam oleh mereka yang pakar dalam bidang ini.

“Semuanya ada garis panduan yang perlu dipatuhi dan mempunyai kajian klinikal, bukan hanya boleh buat pencarian di Google,” terangnya yang sudah lebih lima tahun berkecimpung dalam bidang ini.

Diiktiraf

Berkongsi pengalaman, Meera memberitahu pengguna yang bijak perlu mengenal pasti bahan yang terkandung dalam sesebuah produk.

Walaupun kedengaran agak rumit, tetapi jika lakukan sedikit bacaan atau merujuk kepada pakar, sekurang-kurang dapat menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa produk jenis timbang kilo berkenaan.

Ujar Meera lagi, walaupun memegang jawatan sebagai pengasas, dia tetap mengambil tahu tentang bahan-bahan yang terkandung dalam produk. Malah, dia sendiri akan turun ke makmal bersama ahli kimia untuk mempelajari proses-proses penghasilan produk.

“Sebelum mengeluarkan sesebuah produk, setiap sampel perlu dihantar ke KKM untuk dinilai. Ia merupakan satu proses yang panjang dan lama. Selepas melepasi syarat-syarat yang digariskan KKM, baru sesuatu produk itu boleh dilancarkan dan dijual kepada orang ramai.

“Kos yang perlu dikeluarkan juga agak tinggi, oleh itu agak mencurigakan jika ada produk yang boleh didapati dengan harga rendah dari pasaran terutamanya produk-produk yang didakwa mempunyai pelbagai fungsi seperti enam dalam satu dan sebagainya,” terang anak kelahiran Kodiang, Kedah itu.

Pengguna perlu memikirkan kesan buruk dan akibatnya jika memakai produk yang tidak diiktiraf KKM. Tidak guna memakai produk yang dapat memberi hasil dalam tempoh singkat namun memberi kesan buruk dalam tempoh akan datang.

“Sayang sekali kerana ingin cepat cantik, seseorang itu sanggup mencari jalan singkat. Pada hal, jika kulit sudah rosak, mereka terpaksa mengeluarkan beratus ringgit bagi setiap sesi rawatan untuk memulihkan kembali kulit muka di klinik pakar kulit bertauliah,” katanya.

Produk penjagaan wajah tiruan dan tidak diiktiraf boleh dikesan melalui tekstur, warna dan cara pembungkusan sesuatu jenama produk itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini