WASHINGTON – Rangkaian pasar raya Amerika Syarikat(AS), Sears memfailkan kebankrapan semalam dan mengumumkan ia akan menutup hampir 150 kedainya.
Sears pernah mendominasi sektor peruncitan AS tetapi perniagaannya merosot berikutan populariti laman runcit Amazon.
Mempunyai sejarah perniagaan panjang sejak tahun 1886, syarikat itu merupakan perintis kepada perniagaan pusat beli-belah, manakala menjelang pertengahan abad k-20, empayar Sears merentasi seluruh Amerika Utara.
Bagaimanapun, Sears menutup beratus-ratus cawangan sejak beberapa tahun lalu di tengah-tengah kemerosotan industri runcit yang sebahagiannya diambil alih oleh Amazon dan gedung e-dagang lain.
“Syarikat ini dan sebilangan anak syarikatnya memfailkan petisyen untuk mendapatkan bantuan di bawah Undang-Undang Kebankrapan di Mahkamah Kebankrapan AS bagi Daerah Selatan New York,” kata pihak pengurusan Sears Holdings Corporation dalam satu kenyataan.
Sears menanggung hutang yang besar dan dilaporkan tidak mampu membuat pembayaran semula berjumlah AS$134 juta (RM557 juta) yang sepatutnya dilunaskan semalam.
Pengerusi Sears Holdings, Edward S. Lampert berkata, permohonan perlindungan muflis itu akan memberi syarikat itu ‘fleksibiliti untuk mengukuhkan akaun dan mempercepatkan transformasi strategik’.
Sears mengumumkan akan menutup 142 buah kedai yang tidak menguntungkan menjelang hujung tahun ini. – AFP










