KUALA LUMPUR 29 Okt. – Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Salleh secara peribadi sama sekali tidak berminat dengan penubuhan Badan Pengadilan Bebas seperti yang diumumkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), hari ini.
Bagaimanapun ujarnya, dia sedia membantu Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin sekiranya bersetuju dengan penubuhan Badan Pengadilan Bebas yang akan bermula musim depan.
“Presiden FAM sekarang adalah Datuk Hamidin Mohd. Amin, sekiranya beliau bersetuju maka saya tiada komen dan akan berusaha untuk membantu beliau sebaik mungkin. Secara peribadi saya sama sekali tidak berminat.
“Saya tiada komen selain daripada mengucapkan tahniah kepada Pengerusi MFL (Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ)),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
TMJ selaku Pengerusi MFL hari ini mengumumkan akan menubuhkan Badan Pengadilan Bebas itu dalam usaha meningkatkan mutu pengadilan Liga Malaysia.
Langkah tersebut bukan mahu memperlekehkan kemampuan pengadil di negara ini, sebaliknya kepakaran luar digunakan bagi meningkatkan standard pengadil tempatan terutama selepas melibatkan mutu pengadilan lemah Suresh Jayaraman pada final Piala Malaysia, Sabtu lalu.
“MFL membuat keputusan untuk menubuhkan Badan Pengadilan Bebas bagi meningkatkan standard pengadil. FAM turut berada dalam badan bebas itu yang akan berfungsi menjelang musim 2019.
“Kami juga akan menghantar 25 pengadil baharu ke Jepun untuk meningkatkan kualiti pengadilan.
“Pengadil tempatan dan pengadil asing akan bekerjasama selain perancangan juga sedang dilakukan untuk mengadakan kursus pengadil oleh bekas pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL),” katanya.










