KUALA LUMPUR 14 Okt. – Penyanyi Zamani mengakui Allahyarham Saleem pernah meluahkan hasrat untuk menyertai program nyanyian Gegar Vaganza (GV).
Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim berkata, dia sedikit terkilan kerana banyak hasrat semasa hayat arwah tidak tercapai.
“Dia ada bergurau untuk masuk Gegar Vaganza beberapa tahun lalu sewaktu dia sihat. Mengenalinya, arwah memang seorang yang suka bergurau dan ceria,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, vokalis kumpulan Slam ini turut meluahkan rasa sedih kerana tidak berkesempatan bercakap dengan arwah ketika dia sudah sedarkan diri.
“Saya memang amat terkilan tidak dapat bertemu dengan dia dalam keadaan dia sedar. Ada melawat selepas dia kemalangan tetapi ketika itu dia dalam keadaan koma,” jelas Zamani.
Mengulas lanjut, Zamani berkata, allahyarham merupakan seorang penyanyi yang tiada tolak bandingnya dan antara artis yang paling senang bekerjasama.
“Allahyarham memang senang untuk memberikan kerjasama terutama ketika di studio rakaman. Suaranya memang tiada ganti,” tuturnya yang pernah merakamkan semula lagu Isabella dengan Salem bersama dua penyanyi ternama lain iaitu Datuk Jamal Abdillah dan Amy Seach.
Sementara itu, penyanyi Datuk Hattan mengatakan beliau dan Allahyarham pernah merakam sebuah lagu bersama namun tidak berpeluang untuk dilancarkan.
“Kami berdua ada merakam sebuah lagu. Tetapi ia tidak pernah dilancarkan,” ujarnya.
Hattan turut berkongsi kenangan mereka bersama menjayakan sebuah konsert jelajah di Sabah penghujung tahun lalu.
“Kali terakhir saya berjumpa Allahyarham adalah pada bulan Disember lalu ketika sama-sama menjayakan konsert jelajah di Sabah.
“Ketika itu arwah sangat gembira dan ceria. Sepanjang mengenalinya, arwah memang berpewatakan begitu.
“Saya agak ralat kerana sepatutnya saya dan isteri melawatnya dua minggu lalu namun dibatalkan saat akhir kerana perlu pulang ke kampung,” jelas Hattan.
Saleem atau nama sebenarnya, A.M Salim Abdul Majeed menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Penyanyi berusia 57 itu sebelum ini terlibat dalam kemalangan jalan raya9 pada 21 September lalu. Kemalangan tersebut mengakibatkan tulang rusuknya patah serta beliau berada dalam keadaan koma.
Jenazah akan dibawa ke Surau As- Syakirin, Bandar Mahkota Cheras dan dikebumikan selepas zohor di Tanah Perkuburan Islam Cheras Perdana dekat sini. – UTUSAN ONLINE










