KUANTAN 7 Okt. – Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menerima keputusan ahli parti itu di Cabang Indera Mahkota dan negeri ini yang kurang memihak kepadanya dalam pemilihan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) semalam.
Beliau berkata, dalam pemilihan parti itu, kebanyakan ahli PKR mengikut senarai calon yang diserahkan kepada mereka.
“Ini adalah keputusan ahli sebab nampak gayanya dalam pemilihan kali ini, ahli mengikut senarai nama yang dikeluarkan.
“Tidak ada masalah kerana itu merupakan adat dalam pemilihan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Mahkota Bahasa anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Dewan Serbaguna Pusat Dagangan Mahkota di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Datuk Abdul Aziz Salleh dan Pengerusi MCPF negeri, Datuk Seri Johny Ch’ng Ewe Gee.
Dalam pemilihan MPP PKR di peringkat Cabang Indera Mahkota di sini semalam, Saifuddin yang merupakan Ahli Parlimen Indera Mahkota hanya memperoleh 113 undi.
Saifuddin berkata, apa yang penting pada pemilihan PKR kali ini adalah proses pengundian yang dilakukan dengan semangat demokrasi dan tiada kekecohan tercetus.
“Pemilihan belum berakhir dan saya berharap akan berada dalam kedudukan 20 senarai MPP,” katanya. – UTUSAN ONLINE









