JOHOR BAHRU 18 Okt. – Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada usaha menambah baik sistem perhubungan dan rangkaian jalan raya supaya setanding dengan Singapura yang sudah dikenal pasti seperti projek Sistem Rapid Transit (RTS) berbanding meneruskan projek jambatan bengkok.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, projek seperti RTS itu lebih penting berbanding cadangan untuk meneruskan semula pembinaan jambatan bengkok yang bukan sahaja merupakan satu pembaziran, malah tidak akan membawa faedah kepada negeri ini.

“Jambatan bengkok tidak membawa faedah lagi kepada Johor selain merupakan satu pembaziran.
“Kita tertanya-tanya mengapa cadangan seperti itu dibangkitkan semula sedangkan kerajaan pusat mengatakan kedudukan kewangan negara tidak baik”, katanya.
Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, BN Johor juga berpendapat, pembinaan jambatan ketiga lebih sesuai daripada pembinaan jambatan bengkok itu.
Selain itu, tambahnya, kerajaan juga sewajarnya melihat semula projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang ditangguhkan.
Menurutnya, projek HSR itu yang mampu memberi banyak manfaat kepada rakyat negara ini dan negeri Johor sepatutnya turut diberikan keutamaan dalam sebarang usaha menambah baik rangkaian perhubungan jalan raya dengan Singapura. – UTUSAN ONLINE










