Rosmah hadapi 17 tuduhan ubah wang haram RM7 juta - Utusan Malaysia

Rosmah hadapi 17 tuduhan ubah wang haram RM7 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas 17 pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM7 juta.

Rosmah, 67,  membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan selesai dibaca satu persatu kepadanya  oleh dua jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Rosmah didakwa atas 12 pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi aktiviti haram
dengan cara membenarkan kemasukan wang berjumlah lebih RM7 juta ke dalam akaun bank miliknya dan lima pertuduhan gagal membuat penyata pendapatan.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, tingkat bawah, 148 Jalan Ampang, di sini dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 4 Disember 2013 dan 1 Mei 2018.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Rosmah  dibebaskan dengan jaminan RM2 juta berserta dua penjamin selain mengarahkan Rosmah menyerahkan dua dokumen perjalanannya kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak menganggu saksi-saksi atau bakal-bakal saksi dengan apa cara sekali pun.

Mahkamah juga membenarkan jaminan RM500,000 dibayar hari ini dan bakinya dilunaskan sebelum atau pada 11 Oktober ini.

Tarikh sebutan kes  ditetapkan pada 8 November. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN