Rosmah bebas dengan jaminan RM2 juta - Utusan Malaysia

Rosmah bebas dengan jaminan RM2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa dengan 17 pertuduhan penggubahan wang haram dibebaskan dengan jaminan RM2 juta berserta dua penjamin.

Mahkamah memerintahkan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak dibenarkan menghubungi dan mengganggu saksi yang akan terlibat dalam kes tersebut.

Selain itu, mahkamah juga memerintahkan Rosmah, 67, membayar jaminan RM500,000 pada hari ini manakala baki selebihnya perlu dibuat sebelum 11 Oktober ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebelum itu, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 17 pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan hampir RM7 juta selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pendakwaan diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Rosmah.

“Jika mahkamah membenarkan cadangan, pihak kami mencadangkan jaminan RM10 juta selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mendekati saksi,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela Datuk Geetham Ram yang mewakili Rosmah memohon mahkamah membenarkan jumlah jaminan dengan kadar yang munasabah iaitu RM250,000 atas alasan anak guamnya itu sentiasa memberi kerjasama dalam siasatan.

“Saya pohon jumlah jaminan yang munasabah. Usia tertuduh 67 tahun, merupakan isteri bekas Perdana Menteri dan bersedia menyerahkan pasport kepada mahkamah.

“Tertuduh telah dipanggil tiga kali pada 5 Jun, 26 September dan 3 Oktober. Beliau telah hadir tanpa gagal oleh SPRM, walaupun pada tarikh singkat, tertuduh patuh. 

“Saya cadangkan jumlah jaminan RM250,000 adalah wajar dan munasabah untuk jamin kehadirian beliau ke mahkamah. Beliau sedia dengan syarat yang dipohon pihak pendakwaan iaitu pasport diserahkan. Beliau juga telah akur janji tidak mendekati mana-mana saksi berhubung kes pendakwaan,” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan Rosmah berhubung siasatan pengubahan wang haram selepas SPRM mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

Sebelum itu, Rosmah hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan buat kali ketiga.

Pada 26 September lalu, Rosmah dipanggil memberi keterangan dan disoal siasat hampir 13 jam.

Kali pertama Rosmah dipanggil memberi keterangan kepada SPRM ialah pada 5 Jun lalu dan disoal siasat lebih lima jam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini