KUCHING 29 Okt. – Penurunan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang berlaku ketika ini, memberi kesan kepada pengguna Malaysia apabila berlaku kenaikan harga barangan termasuk minuman dan makanan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, penyusutan nilai mata wang negara itu memberi kesan terhadap 70 peratus jenis barangan yang biasa dibeli oleh pengguna khususnya yang diimport dari luar negara.
Beliau berkata, keadaan itu tidak dapat dielakkan kerana penurunan ringgit secara tidak langsung akan memberi tambahan harga kepada setiap barangan yang diimport.
“Penurunan nilai ringgit memang ada memberi kesan kepada pengguna di negara ini kerana akan berlaku penambahan harga pada setiap barangan yang diimport dari luar negara.
“Keadaan itu tidak dapat dielakkan kerana negara kita mengimport banyak barangan dari luar negara terutama makanan dan minuman,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefaman (MoU) antara CS Mini Market Sdn. Bhd., Mega Bite Cafe Sdn. Bhd. bersama Polarwood Sdn. Bhd. dan Toyugi Group di Sentosa Parade, Kota Sentosa di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Chieng Jen berkata, produk makanan dan minuman import dijangka mengalami peningkatan harga sebanyak 30 peratus akibat dipengaruhi oleh penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS.
Dalam pada itu, beliau berkata, penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang diganti dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) didapati memberi kesan positif apabila berjaya meningkatkan daya membeli pengguna di negara ini.
Beliau berkata, hal ini kerana pelaksanaan SST berjaya mengurangkan harga berbanding GST termasuk 552 jenis barangan yang paling banyak dibeli oleh pengguna.
“Selepas SST dilaksanakan, statistik Indeks Harga Pengguna (CPI) 2017 dan tahun ini menunjukkan perubahan ketara bagi tempoh Jun hingga September.
“Indeks itu mencatatkan kenaikan pada Jun, Julai, Ogos dan September 2017 iaitu masing-masing sebanyak 3.6 peratus, 3.2 peratus, 3.7 peratus dan 4.3 peratus,” katanya.
Namun, ujar beliau, peratusan indeks terbabit mencatatkan perubahan ketara dalam tempoh sama tahun ini iaitu hanya 0.8 peratus pada Jun, Julai (0.9 peratus), Ogos (0.2 peratus) dan September (0.3 peratus).
Walau bagaimanapun, jelasnya, SST tidak akan mengurangkan harga barangan cuma dapat menawarkan harga lebih rendah iaitu sekitar 30 hingga 50 peratus berbanding GST sebelum ini.









