LOS ANGELES 18 Okt. – Seorang remaja perempuan di California didakwa mencampurkan abu mayat datuknya ke dalam adunan biskut sebelum memberi makanan itu kepada rakan-rakan sekolahnya.
Akhbar Los Angeles Times yang memetik sumber polis di Davis, berhampiran Sacramento melaporkan, remaja tersebut memberi ‘biskut istimewa’ itu kepada sembilan rakannya.
Leftenan Paul Dirishov berkata, sesetengah rakan remaja itu menikmati biskut berkenaan tanpa mengetahui kandungan sebenar yang terdapat dalam makanan tersebut.
“Terdapat juga pelajar di Akademi Charter Da Vinci yang mengetahui hal itu namun mereka masih makan biskut itu,” katanya.
Seorang pelajar, Andy Knox memberitahu siaran televisyen tempatan bahawa dia dalam perjalanan ke kelas apabila seorang remaja perempuan memberi biskut mengandungi ‘bahan istimewa’.
“Pada mulanya saya sangka biskutnya mengandungi dadah atau bahan lain dan saya tanya adakah ini biskut rumpai atau biskut perisa lain?
“Kemudian dia jawab bukan dan memaklumkan bahawa bahan istimewa itu adalah abu mayat datuknya dan dia ketawa,” ujar Knox.
Bagaimanapun, tiada pelajar dilaporkan jatuh sakit selepas makan biskut tersebut.
Kejadian itu dilaporkan berlaku pada 4 Oktober lalu namun tiada sebarang penahanan dibuat setakat ini. – AFP










