BARCELONA 29 Okt. – Kapten Real Madrid, Sergio Ramos menegaskan, dia dan rakan-rakan sepasukan tidak boleh mengulas sama ada Julen Lopetegui bakal dipecat atau tidak, namun mengakui mereka berada dalam keadaan amat tertekan selepas dimalukan 5-1 oleh Barcelona pada saingan El Clasico, hari ini.
Meskipun beraksi tanpa Lionel Messi yang cedera, Barcelona tidak mempunyai masalah untuk meratah Los Blancos, berterima kasih kepada hatrik Luis Suarez serta gol menerusi Philippe Coutinho dan Arturo Vidal.
Kemenangan membolehkan Barca merampas kedudukan pendahulu La Liga manakala Real jatuh ke tangga kesembilan.
Ini adalah kekalahan kelima Real dalam tujuh perlawanan terakhir (semua pertandingan) , sekali gus meletakkan nasib Lopetegui sebagai pengurus ibarat ‘telur di hujung tanduk’.
“Saya tidak akan mengubah pendirian saya. Pemain dan barisan kejurulatihan akan teguh di belakang pengurus tetapi keputusan perlawanan akan menentukan sama ada jurulatih kekal atau tidak.
“Ini bukan keputusan kami, ia datang dari ‘atas’. Kami tidak dengar apa-apa, jadi kami kekal sebagai satu pasukan dan selain itu, kita tunggu dan lihat,” kata tonggak pertahanan Sepanyol itu.
Bekas pengendali Itali, Juventus dan Chelsea, Antonio Conte menjadi calon utama untuk mengisi kerusi panas jurulatih Real, yang telah bertukar tangan 14 kali sejak 2003. – AGENSI










