Rapid Rail mohon maaf kepada pengguna LRT - Utusan Malaysia

Rapid Rail mohon maaf kepada pengguna LRT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Rapid Rail Sdn. Bhd., (Rapid Rail) memohon maaf kepada semua pengguna perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang terjejas berikutan kelewatan jadual perjalanan, pagi tadi.

Rapid Rail dalam satu kenyataan memaklumkan, kegagalan fungsi tren dua gerabak bernombor 33 memaksa pusat kawalan operasi (OCC) menamatkan perkhidmatan tren berkenaan di Stesen Universiti.

Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku pukul 7.56 pagi ketika tren tersebut dalam perjalanan dari Stesen Kerinchi menuju Stesen Universiti sebelum menghadapi masalah sehingga gagal bergerak.

“Kejadian memaksa staf operasi melakukan verifikasi terhadap tren secara manual. Setelah beberapa kali cubaan menggerakkannya secara manual gagal, tindakan menunda tren dilakukan.

“Perkhidmatan tren dihentikan selepas menurunkan penumpang dianggarkan seramai 150 orang di Stesen Universiti,” jelas kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, Rapid Rail menjelaskan, kejadian pada waktu puncak menyebabkan pengguna terpaksa menunggu lebih lama bagi mendapatkan tren sebelum perkhidmatan LRT kembali pulih sepenuhnya pukul 8.22 pagi.

“Selain memohon maaf kepada pengguna perkhidmatan LRT yang terjejas, Rapid Rail turut menawarkan kupon perjalanan percuma kepada pelanggan dan boleh dituntut di semua kaunter LRT Laluan Kelana Jaya sebelum digunakan dalam tempoh lima hari mulai hari ini,” kata kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN