PORT DICKSON – Satu rakaman video dipercayai bagi membuktikan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendapat pengampunan bebas oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dimuat naik di sebuah laman Facebook malam ini.
Rakaman video berdurasi 39 saat itu dimuat naik di laman Facebook berkaitan kempen Anwar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Port Dickson iaitu ‘Anwar 4 Port Dickson’ kira-kira pukul 8.50 malam.
Dalam rakaman itu, seorang lelaki memakai seragam anggota Jabatan Penjara dilihat membacakan satu surat di hadapan Anwar dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Timbalan Perdana Menteri.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi pengampunan sepenuhnya dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan serta diberi pembebasan serta merta,” kata lelaki itu.
Turut dilihat berada dalam rakaman itu ialah anak Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah serta empat lelaki lain memakai pakaian seragam Jabatan Penjara.
Terdahulu, Pas dalam satu sidang akhbar tengahari ini mempertikaikan kelayakan Anwar bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson kerana didakwa tidak mendapat pengampunan bebas daripada Yang di-Pertuan Agong.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa, Anwar hanya menerima pengampunan Yang di-Pertuan Agong untuk tidak menghabiskan baki hukuman penjaranya yang sepatutnya berakhir pada tahun 2020.
“Anwar dihukum penjara lima tahun oleh mahkamah rayuan kerana kes liwat bermula tahun 2015 dan bermakna akan dibebaskan pada 2020.
“Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang hilang kelayakan menjadi Ahli Parlimen jika disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah dan dihukum penjara minimum satu tahun dan denda minimum RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas daripada Yang di-Pertuan Agong,” kata Takiyuddin.
Pas semasa proses penamaan calon PRK Port Dickson pada 29 September lalu turut mengemukakan bantahan serupa terhadap pencalonan Anwar, tetapi bantahan itu ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – K! ONLINE











