PORT DICKSON 8 Okt. – Seramai 7,191 daripada jumlah keseluruhan 7,268 pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson akan terlibat dalam pengundian awal esok.
Sebanyak 77 pengundi awal pula telah memohon untuk mengundi secara pos iaitu masing-masing 23 anggota polis dan 54 anggota tentera.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, seramai 555 pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis akan mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.
“Manakala seramai 6,636 orang anggota tentera serta pasangan mereka akan mengundi di Hangar Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) dan di Dewan Serbaguna, Kem Segenting, Port Dickson.
“Pusat pengundian awal itu akan dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 5.30 petang kecuali tiga saluran di IPD Port Dickson iaitu khemah A, B dan C akan ditutup awal pada pukul 12 tengah hari kerana jumlah pengundi yang sedikit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, jelas Azhar Azizan, proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding di bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan.
“Di samping itu, Pemerhati-Pemerhati Pilihan Raya daripada wakil-wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR juga akan turut menyaksikan proses pengundian awal tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kertas-kertas undi awal tidak akan dikira di tempat mengundi (saluran) esok sebaliknya peti-peti undi awal akan disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis.
“Pengiraan undi awal tersebut hanya akan dijalankan pada 13 Oktober secara berkelompok di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dengan disaksikan oleh ejen-ejen calon dan pemerhati pilihan raya yang dilantik oleh SPR,” katanya. – UTUSAN ONLINE









