LISBON 4 Okt. – Portugal sekali lagi mengetepikan kapten mereka, Cristiano Ronaldo daripada skuad yang akan menentang Poland dan Scotland bulan ini, umum Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) hari ini.
Ronaldo, 33, yang memegang rekod penjaring terbanyak Portugal turut terlepas dua perlawanan bersama skuad kebangsan bulan lalu iaitu dalam aksi persahabatan menentang Croatia dan Liga Negara-Negara Eropah dengan Itali.
Pemain Terbaik Dunia lima kali itu memerlukan masa untuk menyesuaikan diri selepas berpindah dari Real Madrid ke Juventus, kata Ketua Jurulatih Portugal, Fernando Santos ketika mengetepikan Ronaldo bulan lalu.
Portugal akan bertandang ke Poland dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah pada 11 Oktober ini, sebelum terbang ke Scotland untuk aksi persahabatan, tiga hari kemudian. – REUTERS











