BUTTERWORTH 2 Okt. – Polis Seberang Perai Utara (SPU) berjaya menyelamatkan tiga wanita warganegara Thailand yang dipercayai diperdagangkan untuk tujuan eksploitasi seks di sebuah Pusat Urut di Jalan Limbungan Indah dekat sini malam tadi.
Turut ditahan dalam serbuan pukul 7.55 malam itu adalah seorang lelaki yang disyaki menjalankan aktiviti memperdagangkan manusia di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 serta dua pelanggan yang berada di premis terbabit.
Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, tiga wanita berusia antara 32 hingga 33 tahun itu akan dihantar ke rumah perlindungan dan akan disiasat di bawah Seksyen 44 Atipsom 2007.
“Dalam Op Pintas itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM721 dan pemeriksaan ke atas tiga bilik, polis merampas tiga helai tuala mandi, dua gulung tisu, tiga bungkus tisu lembap pelbagai jenama yang telah digunakan, tiga botol minyak urut pelbagai jenama dan satu kondom yang belum digunakan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 12 dan 44 Atipsom 2007 dan salah seorang suspke telah ditahan reman hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE










