JAKARTA 18 Okt. – Agensi antirasuah Indonesia menyerbu 10 lokasi, termasuklah rumah Timbalan Pengerusi Lippo Group, James Riady sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung kegiatan rasuah dikaitkan dengan projek hartanah Meikarta bernilai AS$21 bilion (RM87 bilion).
Serbuan itu dijalankan selepas Suruhanjaya Pembasmian Rasuah atau dikenali sebagai KPK menahan dua perunding Lippo Group dan seorang pekerja didakwa cuba memberi rasuah kepada pegawai bandar bagi mendapatkan permit hartanah untuk Meikarta.
Meikarta merupakan projek terbesar Lippo dan dikatakan bakal menjadi pusat kepada industri elektronik dan automotif di Indonesia.
Projek itu turut merangkumi hotel lima bintang, pusat membeli-belah, hospital serta universiti.
Jurucakap KPK, Febri Diansyah berkata, para penyiasat telah merampas dokumen kewangan dan komputer ketika serbuan berkenaan.
Serbuan itu disasarkan kepada rumah Riady, pejabat Lippo Group dan rumah serta pejabat pegawai kerajaan tempatan iaitu Neneng Hasanah Yasin. – REUTERS










