TAIYUAN 8 Okt. – Polis di wilayah Shanxi merampas lebih 5,000 artifak bersejarah dan menahan beratus-ratus orang dalam operasi berskala besar memerangi aktiviti penyeludupan barangan pusaka dan merompak kubur pada tahun ini.
Operasi berkenaan yang bermula pada Mac lalu merupakan yang terbesar dilakukan oleh polis di wilayah terbabit.
Polis berjaya merampas 5,730 artifak bersejarah dan 33 daripadanya merupakan barang perlindungan kebudayaan bertaraf kebangsaan.
“Ketika operasi, polis berusaha bersungguh-sungguh untuk menjejaki artifak yang dicuri,” kata Timbalan Gabenor Shanxi dan ketua polis wilayah, Liu Xinyun.
Kegiatan merompak kubur merupakan masalah serius di Shanxi, yang menempatkan 452 tapak artifak bersejarah dan lebih 28,000 tapak seni bina purba. – BERNAMA









