Polis Perak tumpaskan sindiket curi jentera berat - Utusan Malaysia

Polis Perak tumpaskan sindiket curi jentera berat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR – Satu sindiket mencuri jentera berat berjaya ditumpaskan polis Perak selepas enam lelaki ditahan dalam beberapa serbuan berasingan sejak 15 September hingga kelmarin. 

Dalam serbuan yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu, semua enam lelaki berusia 33 hingga 65 tahun ditahan dan jumlah keseluruhan rampasan barang kes dianggarkan bernilai kira-kira RM200,000. 

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan terlibat dengan 10 kes kecurian melibatkan kerugian lebih RM500,000 di Kuala Kangsar, Manjung dan Gerik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kumpulan berkenaan juga dilaporkan melakukan kekerasan sekiranya mangsa-mangsa yang disamun cuba melawan.

“Operasi khas dijalankan bermula 15 September hingga kelmarin diadakan untuk memburu dan menangkap suspek yang terlibat dan kesemua enam suspek ini berjaya ditangkap di sekitar Ipoh,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kampar di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, bekas Ketua Bahagian Pengurusan IPD Sepang, Superintendan Hasron Nazri Hashim dilantik secara rasmi sebagai Ketua Polis Daerah Kampar yang baharu menggantikan Asisten Komisioner Ng Kong Soon yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPK Perak.

Tambah Hasnan, polis turut merampas barang kes iaitu sebuah mesin excavator jenama Sumitomo, sebuah lori dan beberapa komponen excavator bernilai RM200,000.

“Kesemua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau bersabit kes samun, curi dan dadah. 

“Polis berjaya menyelesaikan 10 kes samun di tiga daerah di negeri ini iaitu empat kes masing-masing di Kuala Kangsar dan Manjung serta dua kes di Gerik,” katanya. 

Katanya, barang yang dicuri tersebut biasanya dileraikan terlebih dahulu dan dipercayai dijual untuk pasaran tempatan dan luar.

“Polis juga kini sedang mengesan seorang lagi lelaki yang sangat dikehendaki bagi membantu siasatan iaitu S. Murugan, 30, berasal dari Kuala Kangsar. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini