KUANTAN 30 Sept. – Program Fit and Trim yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak dua tahun lalu berjaya mengurangkan kadar obesiti dalam kalangan pegawai dan anggotanya di seluruh negeri ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Seri Rosli Abdul Rahman berkata, daripada 5,000 warganya kini hanya terdapat kira-kira 10 peratus yang mengalami masalah obesiti berbanding 30 peratus sebelum ini.
“Saya yakin kadar obesiti dalam kalangan warga PDRM Pahang akan terus dikurangkan dengan pelbagai pengisian aktiviti yang dianjurkan seperti senam robik dan ceramah-ceramah berkaitan.
“Antara ceramah tersebut ialah mengenai pengjagaan kesihatan, amalan pemakanan yang betul dan penyakit kronik disebabkan oleh obesiti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Fun Run/Ride 2018 di Taman Kerang yang berakhir di Pantai Kempadang di sini semalam.
Fun Run/Ride 2018 anjuran Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) itu akan diadakan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dekat sini pada 13 Oktober ini.
Seramai 3,000 peserta dari seluruh negara dijangka menyertainya termasuk kelab-kelab kontijen dengan tema Polis dan Masyarakat : Berpisah tiada.
Menurut Rosli, beliau mencadangkan agar diadakan pertandingan menurunkan berat badan dengan menyediakan hadiah menarik sebagai galakan.
“Pihak berkaitan di kontijen Pahang boleh merangka program berkenaan sebagai contoh timbang berat badan sebulan sekali dan jika turun lebih tiga kilogram boleh diberikan hadiah.
“Dengan cara ini akan menyuntik semangat warga PDRM untuk menjaga pemakanan sekali gus menjalani gaya hidup sihat,” ujarnya.











