KUALA PILAH 15 okt. – Polis menafikan jalan utama di sekitar daerah ini akan ditutup sempena perarakan keagamaan melibatkan sebuah tokong di sini malam ini seperti disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Haslah Bachok berkata, perarakan itu bermula pada pukul 7.30 malam dan dijangka selesai pukul 10.30 malam ini.
“Pengguna jalan raya tidak perlu risau kerana tiada penutupan jalan seperti didakwa. Hanya jalan utama dan persimpangan lampu isyarat di Wisma MCA akan ditutup sementara semasa perarakan berlangsung.
“Perarakan hanya menggunakan sebelah jalan dan pengguna masih boleh melalui jalan-jalan utama tersebut.
“Kita juga akan menempatkan dua buah kenderaan pelbagai guna polis di hadapan dan belakang sepanjang perarakan bagi memudahkan pergerakan kenderaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Haslah, pihak polis telah merancang kawalan sewajarnya dengan menempatkan anggota trafik di beberapa lokasi bagi melancarkan perarakan dan memastikan ia tidak menghalang lalu lintas. – UTUSAN ONLINE










