Polis jangka panggil Rosmah - Utusan Malaysia

Polis jangka panggil Rosmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 4 Okt. – Polis tidak menolak kemungkinan untuk memanggil isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bagi memberi keterangan terhadap pelbagai kes termasuk membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya memerlukan maklumat daripada isteri bekas Perdana Menteri itu selepas beliau memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

“Ada kemungkinan untuk memanggil beliau bagi membantu siasatan terhadap pelbagai isu termasuk berkaitan 1MDB,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Lawatan Hospital sempena Peringatan Hari Polis Ke-211 di Hospital Putrajaya di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penahanan Rosmah berhubung siasatan pengubahan wang haram oleh SPRM semalam.

Rosmah yang kemudiannya dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini akan menghadapi pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi turut mengesahkan bahawa notis merah oleh polis antarabangsa (Interpol) terhadap ahli perniagaan, Low Taek Jho telah disiarkan semalam.

“Bukan saja dia tetapi nama bapa dia (Tan Sri Low Hock Peng) juga disiarkan,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan terkini berkenaan siasatan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, Mohamad Fuzi berkata, kertas siasatan itu telah siap dan akan dihantar kepada timbalan pendakwa raya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini