PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka akan memanggil isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk diambil keterangan termasuk membabitkan kes1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, maklumat daripada Rosmah itu diperlukan selepas beliau memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
“Ada kemungkinan kita memanggil beliau nanti dan perkara ini membabitan banyak isu mengenai siasatan PDRM.
“Antara isu berkenaan ialah berkaitan 1MDB,” katanya pada sidang akhabar sempena Program Lawatan di Hospital Putrajaya Sempena Hari Polis ke-211 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Hospital Putrajaya, Datuk Dr Nora’i Mohd Said.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai perkembangan terkini siasatan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, Mohamad Fuzi berkata, kertas siasatan itu akan dihantar kepada timbalan pendakwa raya.
“Kita sudah panggil beliau dan ia (kertas siasatan) akan dihantar tetapi untuk tujuan melengkapkan siasatan, itu saja,” katanya.
Sebelum ini akhbar melaporkan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengambil keterangan Arul Kanda berhubung kandungan ceramahnya mengenai syarikat itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
Turut dipanggil untuk memberi keterangan adalah beberapa individu lain.
Mengenai ahli perniagaan Low Taek Jho pula, beliau berkata, notis merah oleh polis antarabangsa (Interpol) terhadap individu terbabit sudah disiarkan hari ini.
“Bukan saja dia tetapi nama bapa dia (Tan Sri Low Hock Peng) juga disiarkan,” katanya. – K! ONLINE











