PETALING JAYA 4 Okt.- Pakatan Harapan (PH) disifatkan melakukan paling banyak kesalahan ketika dalam pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia dan Balakong berbanding lawan mereka.
Pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, pihaknya dalam laporan pemerhatian PRK Seri Setia mendapati PH melakukan 5 kesalahan, manakala MCA dan PAS masing-masing 4 kesalahan.
“Antara kesalahan PH di Seri Setia dan Balakong ialah penyalahgunaan aset, sumber, agensi dan program kerajaan untuk meraih undi,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Shahrul turut memberitahu tiga menteri Kabinet Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada PKR, Mohamad Sabu dan Dr. Dzulkefly Ahmad daripada Amanah didapati menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk berkempen di Balakong.
“PH juga dipercayai memberi hadiah dan menyediakan makanan percuma untuk mendapatkan undi dan calon DAP, Wong Siew Ki turut dilihat memakai baju mempunyai logo parti ketika memasuki pusat mengundi,” ujarnya.
Shahrul turut menggesa agar kesemua parti politik tidak memberi sebarang bentuk hadiah dan menyalahgunakan aset kerajaan untuk meraih undi rakyat.
“Jangan jadikan ini sebagi budaya musim pilihan raya dan berhenti mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu,” katanya.
Menurut Shahrul, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya menyiasat secara terperinci mengenai insiden itu dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang didapati bersalah.
“Kita harap SPR diberi kuasa untuk mendakwa dan menyiasat seperti mana kuasa yang ada pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika tidak penyelesaian jangka panjang tidak akan dibuat oleh mereka,” katanya.
Shahrul turut memberitahu, pihaknya pernah membuat laporan mengenai isu berkenaan bagaimanapun tiada badan khas yang bertanggungjawab untuk menyelesaikannya.
“SPR tidak mempunyai latihan mencukupi dan berkesan untuk petugas pilihan raya malah penguatkuasaan undang-undang yang tidak mencukupi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










