Pesawat masih gagal ditemukan - Utusan Malaysia

Pesawat masih gagal ditemukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 30 Okt. – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih belum menemukan rangka pesawat Lion Air JT610 yang ter­hempas di perairan Tanjung Karawang sehingga mengorban­kan kesemua 189 penumpang­nya, semalam.

Kesan akibat pesawat terhempas menyebabkan air laut menjadi keruh apabila selut yang berada di dasar laut naik ke permukaan, selain tumpahan minyak pesawat, menjejaskan tahap penglihatan pasukan penyelam menjadi terhad.

Pihak berkuasa menganggar­kan rangka pesawat berada pa­da kedalaman 30 hingga 40 meter di dasar laut.

Bagaimanapun, operasi SAR masih diteruskan dengan pasukan penyelamat menggunakan peralatan sonar dan dron untuk mengesan rangka pesawat malang tersebut.

Setakat ini, tidak terdapat tan­da-tanda penumpang terselamat selain serpihan pesawat dan barangan milik peribadi yang ditemukan.

Ketua Panel Keselamatan Pe­ngangkutan Indonesia, Soerjanto Tjahjono berkata, pasukan penyelamat berharap da­pat menemui pesawat hari ini kerana cuaca dilaporkan cerah.

“Empat alat pengesan sonar diletakkan di kawasan serpihan badan pesawat ditemukan selain 15 kapal digunakan bagi melakukan pencarian ini.

“Helikopter juga dikerahkan memantau operasi SAR yang setakat ini melibatkan kira-kira 36 anggota penyelamat termasuk pasukan penyelam,” katanya.

Terdahulu, jurucakap Agensi Mencari dan Menyelamat Nasio­nal Indonesia (Basarnas), Yusuf Latif menyatakan bahawa ‘satu keajaiban’ jika masih ada penumpang yang terselamat kerana begitu banyak serpihan badan pesawat dan cebisan mayat yang ditemukan sejak semalam.

Selain itu, ahli keluarga mangsa terus membanjiri pusat krisis yang diwujudkan di lapangan terbang Jakarta bagi memudahkan mereka mendapatkan maklumat terkini tentang nahas ter­sebut.

Tiada tanda-tanda yang diketahui punca kapal terbang itu ter­hempas selepas berlepas te­tapi pesawat Boeing 737 dikatakan telah diminta supaya kembali ke Lapangan Terbang Soekarno-Hatta sebaik sahaja se­­belum putus hubungan dengan pusat kawalan udara.

Di pelabuhan Jakarta, anggo­ta keselamatan membawa naik dan menyusun semua serpihan dan juga barangan milik penumpang yang ditemukan termasuk beg duit, telefon bimbit, wang tunai dan beg pakaian.

Dalam pada itu, lebih banyak cebisan anggota badan mangsa ditemukan di kawasan nahas.

Kebanyakan cebisan serta barangan milik penumpang yang ditemukan terapung atas permukaan laut.

Sementara itu, Lembaga Ke­se­lamatan Pengangkutan Ke­bangsaan Amerika Syarikat (NTSB) dan syarikat Beoing Co. memaklumkan bahawa mereka akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk men­yiasat tragedi tersebut.

Tragedi itu me­rupakan insiden pertama melibatkan pesawat Boeing 737 MAX yang di­sifatkan sebagai pesawat jimat minyak. – AFP/REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN