PADAWAN – Seorang pesara kerajaan berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah RM306,000 habis akibat terpedaya dengan sindiket Macau Scam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa yang berusia 65 tahun ditipu sindiket itu sejak 27 September sehingga semalam.
Menurutnya, mangsa pada 27 September lalu menerima panggilan telefon daripada seorang perempuan dikenali sebagai Siti Rohana Abdullah dari Mahkamah Kuala Terengganu yang mengatakan mangsa ada meminjam duit sebanyak RM50,000.00 dari Hong Leong Bank Kuala Terengganu.
“Wanita itu memberitahu mangsa akan disenarai hitam jika tidak dapat membayar wang berkenaan.
“Mangsa menjelaskan beliau tidak dapat pergi ke Kuala Terengganu untuk membayar hutang tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, talian mangsa kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai Sarjan Halim Hashim dari IPK Kuala Terengganu yang mengatakan dia sedang melakukan siasatan terhadap kes itu.
Katanya, suspek membuat soal siasat mangsa dan kemudian dia memberitahu mangsa juga terlibat dengan sindiket penggubahan wang haram.
“Suspek mendakwa akaun mangsa digunakan untuk tujuan jenayah dan meminta mangsa untuk merahsiakan hal itu memandangkan suspek berjanji mahu menyelesaikan kes terbabit.
“Suspek kemudian menghubungi semula mangsa pada 28 September dan meminta mangsa membeli nombor telefon baharu untuk tujuan siasatan polis,” katanya.
Pada 1 Oktober lalu ujar Mustafa, mangsa diarahkan ke Affin Bank untuk membuka akaun dan memindahkan wang ASB beliau ke dalam akaun baru Affin Bank yang baru dibuka sebelum diminta menghantar nombor kad ATM baru Affin Bank iaitu nombor di depan dan belakang kad bank itu.
Katanya, mangsa kemudiannya memindahkan semua wang ASB miliknya berjumlah RM306,033.57 ke dalam akaun Affin Bank itu.
“Pengadu kemudiannya terkejut selepas mendapati baki bank akaunnya hanya tinggal RM77 selepas tertipu dengan panggilan itu,” katanya. – K! ONLINE










