Perubahan Program Podium - Utusan Malaysia

Perubahan Program Podium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROGRAM Podium berkemungkinan menerima nama baharu, selain bakal mengalami perstrukturan menerusi pendekatan Tiering System dan akan dikendalikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) mulai tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan bahawa program yang diperkenalkan pada tahun 2016 tersebut bakal berada sebumbung dengan program ‘Kita Juara’ dengan memberi tumpuan kepada empat temasya utama.

Beliau turut menekankan bahawa Institusi Sukan Negara (ISN) masih diberi tanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan sains dan perubatan sukan kepada program latihan bermula Januari 2019 tersebut.

“Penambahbaikan serta penstrukturan program baharu ini akan menumpukan kepada aspek penilaian berdasarkan prestasi atlet serta program latihan menerusi empat peringkat.

“Dalam penilaian kontrak pula, kami akan sertakan KPI (petunjuk prestasi utama) yang perlu dicapai bukan sahaja atlet, malah kepada jurulatih masing-masing.

“Program ini juga akan dilaksanakan melangkaui Sukan Olim­pik 2020, cuma cara pelaksanaan akan berbeza berdasarkan prestasi para atlet pada temasya terbesar tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Prestasi Tinggi dan Terkawal di Putrajaya semalam.

Turut hadir Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Menurut Syed Saddiq, pendekatan baharu itu turut memberi lebih fleksibiliti ke atas pemilihan atlet serta jumlah peruntukan yang akan disalurkan agar dapat dilaksanakan dengan lebih efisien.

“Saya dimaklumkan, pada pertengahan November akan ada perjumpaan bersama persatuan-persatuan sukan. De­ngan sistem ini, kita mahu pastikan dana akan disalur pada sukan atau individu prospek pingat.

“Bagi perincian bajet hanya akan diberitahu kemudian setelah mesyuarat bersama persa­tuan-persatuan sukan nanti. Me­ngenai pengarah podium, kami akan menilai bersama,” ujarnya.

Mengenai atlet Podium ketika ini, Syed Saddiq berkata, kedudukan mereka masih dite­ruskan, namun mengikut sistem berperingkat seperti yang diputuskan.

Menurutnya, peringkat pertama tertumpu kepada sukan-sukan yang mempunyai penyer­taan pada Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik 2020.

Katanya, peringkat kedua akan difokuskan kepada sukan yang memenangi pingat pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia serta Sukan Para Asia 2018 dan akan bertanding dalam temasya 2022. Peringkat ketiga kepada sukan yang dipertandingkan dalam Sukan SEA serta Para ASEAN 2019/2021.

Peringkat keempat akan me­nempatkan sukan-sukan yang tidak dipertandingkan dalam mana-mana temasya, kelompok sukan itu akan diberi bantuan secara geran dan bergantung pada prestasi mereka pada peringkat antarabangsa.

“Peringkat pertama (tier one) sebelum ini agak longgar tetapi sekarang ini peringkat pertama difokuskan kepada atlet yang bakal memenangi pingat pada Sukan Olimpik cuma dalam polisi program itu agak fleksibel,” jelas Syed Saddiq.

Program Podium dilancarkan pada 2016 merupakan inisiatif Pelan Prestasi Tinggi KBS dalam merealisasikan pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain muncul 10 pasukan terbaik dalam Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2018.

Namun, ekoran kegagalan kontinjen negara berada dalam kelompok 10 terbaik pada Sukan Asia Jakarta-Palembang (Ogos) dan Sukan Komanwel Gold Coast, Australia pada April lalu, KBS di bawah kepimpinan baharu memilih untuk menstrukturkan semula program tersebut.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi menjelaskan, pengurusan Program Podium akan di­selaraskan semula di bawah MSN iaitu turut melibatkan program ‘Kita Juara’ dan program atlet pelapis.

“Kontrak atlet yang ada sekarang ini akan dikekalkan sehingga akhir tahun ini. ISN akan kekalkan dan selepas itu MSN akan melihat semula kontrak tersebut mengikut sistem berperingkat yang telah ditetapkan.

“Saya akan mengetuai program ini bersama tiga jawatankuasa yang akan ditubuhkan iaitu jawatankuasa kerja, jawatankuasa pemilihan dan jawatankuasa program. Ini adalah amanah dan tanggungjawab saya perlu memastikan program ini berhasil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN