KUALA LUMPUR 15 Okt. – Pembentukan dasar mesti mempertimbangkan perbezaan ambang pendapatan di seluruh negeri kerana terdapat perbezaan besar dalam ambang pendapatan M40 di antara negeri-negeri yang berlainan di Malaysia.
Menurut Laporan Keadaan Isi Rumah 2018: Realiti Yang Berbeza yang diterbitkan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), isi rumah T20 di bahagian-bahagian tertentu di Malaysia mungkin mempunyai tahap pendapatan yang sama dengan isi rumah B40 di negeri-negari lain di Malaysia.
“Di peringkat kebangsaan, isi rumah M40 merujuk kepada mereka yang mempunyai pendapatan bulanan antara RM4,360 dan RM9,619.
“Walau bagaimanapun, jika kita melihat ambang pendapatan isirumah di peringkat negeri, nilainya berbeza-beza di setiap negeri,” menurut laporan tersebut di sini hari ini.
Laporan Keadaan Isi Rumah 2018: Realiti Yang Berbeza dilancarkan oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Datuk Shahril Ridza Ridzuan.
Sebagai contoh katanya, isi rumah T20 di Kelantan, Perlis atau Pahang mungkin mempunyai pendapatan setara dengan isi rumah B40 di Kuala Lumpur.
“Ini tidak mengambil kira hakikat bahawa kos hidup di negeri-negeri juga mungkin sangat berbeza,” katanya. – UTUSAN ONLINE










