PASIR PUTEH 4 Okt. – Sekumpulan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Janggut (Exsementoja 71-75) menganjurkan pertandingan menghasilkan bekas bubur asyura bagi memcungkil kreativiti ahlinya, di Kampung Bukit, Belah, Gaal, dekat sini hari ini.
Presiden Exsementoja, Azmi Abdul Rahman berkata, pertandingan itu bertujuan menghidupkan semula warisan tradisi Melayu yang menggunakan tempurung sebagai mangkuk untuk mengisi bubur asyura yang siap dimasak.
Katanya, pada masa ini tempurung kelapa tidak lagi digunakan untuk mengagihkan bubur asyura kerana kebanyakan lebih selesa menggunakan bekas plastik.
“Kita membuka peluang kepada semua rakan bekas pelajar untuk menyertainya sejak sebulan lalu. Namun, hanya sebanyak 30 biji tempurung kelapa dari seluruh negara berjaya diadili,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Belah, dekat sini, hari ini.
Azmi berkata, tempurung yang memenangi pertandingan ini dinilai dari aspek ketepatan tema bekas asyura, kreativiti menghias tempurung kelapa dan menghasilkan aksesori tambahan seperti sudu dan garfu dari bahan yang sama.
Katanya, bendahari Masjid Ibrahimi Pasir Puteh, Abdullah Taib diberi kepercayaan mengadili pertandingan yang turut menyediakan hadiah dalam bentuk barangan selepas tamatnya gotong-royong memasak dan mengacau bubur asyura sebanyak enam kawah di lokasi yang sama Sabtu ini.
“Kebanyakan peserta adalah pesara kerajaan yang berusia 60 tahun ke atas sebenarnya memiliki kreativiti dalam menghasilkan tempurung kelapa dalam serlahan seni yang indah.
“Kita rancangkan program ini untuk merapatkan hubungan bekas pelajar SMK Tok Janggut yang kini berada di seluruh pelusuk negara tampil sama-sama memasak bubur asyura,” katanya. – UTUSAN ONLINE











