KUCHING – Seorang perompak dibelasah orang awam selepas bertindak melarikan dompet seorang peniaga ayam penyet di sebuah kedai makan di Jalan Semarak di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, suspek yang berusia 29 tahun telah memasuki premis perniagaan tersebut sebelum secara tiba-tiba melarikan dompet milik peniaga yang diletakkan di dalam almari gerai.
Menurut sumber, panik melihat tindakan suspek, peniaga wanita berusia 53 tahun itu kemudian menjerit meminta tolong.
“Orang awam yang berada di kedai berkenaan kemudian bertindak mengejar suspek sebelum perompak tersebut berjaya ditangkap.
“Berang dengan tindakan suspek, orang awam kemudian bertindak membelasah lelaki terbabit sebelum diserahkan kepada polis,” kata sumber di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ng Ah Lek ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penahan suspek berkenaan.
Katanya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama 10 tahun dan boleh juga didenda,” ujarnya. – K! ONLINE











