Permohonan bapa Altantuya guna keputusan sabitan jenayah saman sivil RM100j ditolak - Utusan Malaysia

Permohonan bapa Altantuya guna keputusan sabitan jenayah saman sivil RM100j ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bapa Altantuya, Dr. Shaariibuu Setev untuk mengguna pakai keputusan kes pembunuhan anaknya di Mahkamah Persekutuan dalam saman sivil RM100 juta keluarga model itu.

Keputusan itu diputuskan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera di dalam kamar hakim.

Permohonan itu antaranya membabitkan sabitan bersalah dua tertuduh utama kes pembunuhan warga Mongolia itu iaitu Azilah Hadhri dan Sirul Azhar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Shaariibuu memberitahu, keputusan itu dibuat berdasarkan Seksyen 43 Akta Keterangan 1950 yang mana pihak plaintif perlu membuktikan semula pembunuhan tersebut.

“Seksyen 43 Akta Keterangan 1950 melarang dan menghalang penggunaan sabitan jenayah di dalam kes saman sivil,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes berkenaan.

Bagaimanapun, Sangeet Kaur berkata, seksyen 43 Akta Keterangan itu berdasarkan perundangan United Kingdom tetapi negara-negara lain termasuk Singapura telah meminda seksyen berkenaan.

“Jadi, ini mungkin satu peluang Peguam Negara untuk menimbang sama ada sudah tiba masanya until Malaysia meminda seksyen in,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sangeet Kaur berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan mahkamah itu.

Pada 4 Jun 2007, bapa dan ibu Altantuya, Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman terhadap Azilah, Sirul Azhar, penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda dan Kerajaan Malaysia bagi menuntut pampasan RM100 juta.

Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 menjatuhkan hukuman mati ke atas dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar selepas didapati bersalah membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu sembilan tahun lalu.

Altantuya yang merupakan wanita kelahiran Ulan Bator dibunuh antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan pukul 1 pagi, 20 Oktober 2006 di Mukim Bukit Raja, Klang.

Pada 20 Jun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut bersetuju supaya kes pembunuhan berprofil tinggi itu dibuka semula selepas bertemu Shaariibu kira-kira 30 minit. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini