PERAK berpeluang untuk mengulangi kejuaraan 18 tahun lalu selepas berjaya menundukkan kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) 2-0 pada aksi kedua suku akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi, lapor MOHAMAD FIRDAUS ABDULLAH.
Pada aksi tersebut, Wander Luiz muncul wira skuad The Bos Gaurus apabila rembatan kencang kaki kirinya dari luar kotak penalti berjaya menewaskan penjaga gol lawan, Muhammad Zarif Irfan untuk gol pembukaan Perak pada minit ke-22.
Pemain import dari Brazil itu melengkapkan malam gemilang Perak apabila menyumbang gol kedua pada minit ke-56 sebelum pemain sayap PKNS FC, Jafri Firdaus Chew dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan keras ke atas Leandro Dos Santos pada minit ke-78.
Keputusan tersebut menyaksikan skuad bimbingan Mehmet Durokovic berjaya melengkapkan empat pasukan untuk slot separuh akhir selepas mencatat kemenangan dengan agregat 2-0 apabila sebelum ini terikat seri tanpa jaringan ketika beraksi di Ipoh minggu lalu.
Kesemua aksi separuh akhir akan berlangsung hujung minggu ini menyaksikan Perak bakal berdepan Sabah yang merupakan wakil tunggal Liga Premier, manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal membuat perhitungan dengan Terengganu Football Club I (TFCI).











