KUALA LUMPUR 3 Okt. – Seorang penyampai berita wanita sebuah stesen televisyen membuat laporan polis selepas diugut rakan sekerja di pejabatnya di Petaling Jaya baru-baru ini.
Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail dekat sini kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden Ku Mashariman Ku Mahmood yang mengesahkan perkara itu berkata, laporan berkenaan dibuat oleh penyampai berita berusia 30-an terbabit kerana bimbang keselamatan dirinya selepas diugut.
“Semuanya bermula daripada salah faham antara suspek dan mangsa membabitkan jadual tugasan pada Sabtu lalu.
“Suspek yang tidak berpuas hati kemudiannya telah menghantar mesej kepada mangsa dengan kasar selain mengeluarkan kata-kata memalukan dan berbaur ugutan,” katanya di sini hari ini.
Jelas Ku Mashariman, pihaknya hanya mengambil keterangan pengadu selepas dimaklumkan yang pihak pengurusan syarikat akan mengadakan mesyuarat bagi menyelesaikan isu tersebut.- UTUSAN ONLINE










