WASHINGTON 16 Okt. – Selepas lebah dan burung, serangga serta haiwan invertebrat lain turut mengalami penurunan dari segi populasi disebabkan oleh perubahan iklim, menurut kajian dari hutan Puerto Rico yang diterbitkan semalam.
Mengukur populasi haiwan invertebrat termasuk serangga, ulat beluncas dan labah-labah bukanlah mudah tetapi cara yang terbaik ialah dengan meletakkan perangkap yang melekit di atas tanah serta di kanopi hutan.
Kaedah itu dilakukan oleh ahli biologi, Bradford Lister pada 1976 dan 1977 di Hutan Negara El Yunque, Puerto Rico.
Lister kembali semula ke hutan berkenaan bersama seorang lagi ahli biologi pada 2011 dan 2012 dengan menggunakan kaedah sama.
Mereka mendapati jumlah serangga yang terperangkap dalam jaring telah menurun kepada empat hingga lapan kali ganda dan 30 hingga 60 kali ganda di perangkap yang melekit.
Penurunan itu turut selari dengan bilangan cicak, katak dan burung, menurut pemerhatian oleh para penyelidik.
“Semuanya sedang merosot. Sekiranya hutan tropika telah tiada, ini merupakan satu lagi kegagalan yang membawa kepada bencana di Bumi.
“Bencana itu akan memberi kesan kepada manusia dalam cara yang tidak boleh dibayangkan,” kata Lister kepada Washington Post.
Menurut model yang digunakan oleh para penyelidik, mereka meletakkan kesalahan terhadap pemanasan global.
Mereka membuat kesimpulan selepas mendapati suhu di Puerto Rico meningkat sejak lebih 40 tahun lalu. – AFP










