Penjelasan isu doping atlet Perak - Utusan Malaysia

Penjelasan isu doping atlet Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN negeri Perak menyangkal dakwaan bahawa seorang atlet judo Perak pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di negeri ini bulan lalu terlibat dengan penyalahgunaan bahan terlarang sehingga menyebabkan kegagalan ujian doping.

HOWARD menunjukkan salinan laporan perubatan isu pengunaan bahan larangan atlet judo pada Sukma Perak di Ipoh semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, atlet terbabit yang juga memenangi pingat emas acara judo mengalami kecederaan yang agak serius pada bahagian bahu sewaktu menjalani latihan sebelum Sukma berlangsung.

Katanya, atlet itu terpaksa menerima suntikan intra-articular pada sendi bahunya 9 September lalu dengan menggunakan suntikan triamcinolone untuk membaik pulih kecederaan dan mengurangkan kesakitan.

“Berdasarkan fakta, suntikan triamcinolone diklasifikasikan dalam kategori S9 iaitu Glucocorticoids. Ia merupakan bahan antiradang yang biasa digunakan untuk proses pemulihan.

“Meskipun ia merupakan bahan terlarang dalam Agensi Antidoping Dunia (WADA) tetapi mengikut garis panduan agensi itu, suntikan pada bahagian sendi adalah dibenarkan sama ada sewaktu atlet dalam pertandingan atau luar pertandingan,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Impiana, Ipoh semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan, atlet angkat berat Pahang dan judo Perak yang bertanding pada Sukma baru-baru ini di­sahkan positif ujian doping.

Perkara itu diumumkan oleh Pengarah Agensi Antidoping Malaysia (Adamas), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, menurut Howard, laporan Adamas juga menunjukkan bahawa sampel yang diambil daripada atlet untuk ujian doping disahkan mengikut dos yang dibenarkan iaitu 30ng/mililiter.

Katanya, beliau juga berharap dengan penjelasan tersebut dapat membersihkan nama atlet Perak itu berikutan dia berada dalam keadaan tertekan selepas insiden berkenaan.

“Secara fakta, atlet ini telah banyak berkorban dengan menangguhkan pengajian selama satu semester di universiti untuk mewakili Perak pada Sukma dan dia berhak untuk terus menerima pingat emas yang diraihya.

“Kita berharap Adamas mengambil perhatian mengenai perkara ini sebelum keputusan mengenai dakwaan penyalahgunaan bahan terlarang terhadap atlet dari Perak ini dimuktamad­kan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN