PUTRAJAYA – Penjawat awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan diseru membuat pembayaran zakat melalui potongan gaji disebabkan tahap kesedaran untuk menjelaskan bayaran secara konsisten sangat rendah.
Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, bagi meningkatkan kesedaran terhadap penjawat awam, pihaknya telah melancarkan Program Jom Berzakat Bersama Warga Kementerian Wilayah dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat – MAIWP (PPZ-MAIWP).
“Program ini dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada warga Kementerian Wilayah untuk melaksanakan Rukun Islam yang ketiga iaitu mengeluarkan zakat pendapatan melalui kaedah potongan gaji.
“Hal ini kerana tahap kesedaran dalam kalangan penjawat awam untuk mengeluarkan zakat secara konsisten adalah kurang,” katanya pada majlis pelancaran program tersebut di Menara Seri Wilayah di sini hari ini.
Khalid berharap usaha dilaksanakan itu akan menjadi contoh kepada semua kementerian dan agensi kerajaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Saya harap perkara ini dapat diteladani bagi turut sama menunaikan tanggungjawab berzakat yang merupakan wajib untuk setiap muslim,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau secara rasminya telah memilih untuk membuat bayaran zakat melalui Skim Thohir iaitu potongan gaji secara bulanan.
PZ-MAIWP bertanggungjawab mengutip zakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan manakala Baitulmal-MAIWP telah dilantik oleh MAIWP bagi pengagihan zakat.
Bagi merancakkan kempen berzakat, PPZ-MAIWP mengadakan kempen Jom Sertai Kempen Skim Thohir 2018 melalui pemotongan gaji zakat bermula dari Julai hingga 31 Oktober ini dengan pelbagai hadiah menarik termasuk umrah dan percutian tajaan Five Estect Travel Services Sdn. Bhd.
Kempen Jelajah Zakat itu dapat menggalakkan pembayaran zakat dibuat seterusnya membantu Baitulmal-MAIWP menyantuni golongan asnaf khususnya di Wilayah Persekutuan.
Oleh sebab itu, semua penjawat awam digalakkan untuk membuat taksiran atau kiraan zakat bersama PPZ-MAIWP bagi mengetahui jumlah zakat semasa individu dan mereka boleh menghubungi Talian Zakat untuk membuat pengiraan menerusi 1-300-88- 5757. – K! ONLINE











