Peniaga rugi RM200,000 rumah terbakar - Utusan Malaysia

Peniaga rugi RM200,000 rumah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH – Seorang peniaga kerugian hampir RM200,000 apabila rumahnya hangus dalam kejadian kebakaran di Kampung Batu Satu, Jalan Temerloh-Mentakab di sini hari ini.

Kejadian pukul 10.15 pagi itu menyebabkan rumah berkembar dua pintu berkenaan musnah termasuk sebuah motosikal miliknya turut hangus.

Mangsa, Kamarul Anuar Jamaludin, 49, berkata, dia tiada di rumah ketika kejadian itu kerana ada urusan kerja di luar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya mendapat panggilan telefon daripada salah seorang anak pada pukul 10.30 pagi yang memberitahu mengenai kebakaran.

“Semua ahli keluarga juga tiada di rumah ketika kejadian dan kami sekeluarga reda dengan takdir Allah,” katanya yang ditemui pemberita.

kebakaran
Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadamkan kebakaran tersebut.

 

Menurutnya, mereka sekeluarga terpaksa menumpang di rumah ibunya untuk sementara waktu.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Hashnudin Husin berkata, seramai lapan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Manan Ishak dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 10.33 pagi.

“Bomba tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian dan mendapati api sudah marak, namun tidak ada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, api berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam masa sepuluh minit kemudian.

“Punca kejadian dan nilai kerugian sebenar masih dalam siasatan,” jelasnya. – K! ONLINE

Kebakaran
Punca kebakaran dan nilai kerugian sebenar masih dalam siasatan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini