KANGAR – Seorang penganggur lelaki warga tempatan berusia 26 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan mengedar 54 kilogram (kg) ganja di Padang Besar dekat sini pada 26 September lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan oleh tertuduh iaitu Mohamad Zulfazlee Ruslan yang berasal dari Ayer Hitam, Kedah apabila pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Norhayati Ibrahim.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh pada 26 September lalu didakwa telah mengedarkan dadah berbahaya iaitu kanabis di kem Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Padang Besar kira-kira pukul 11.30 pagi.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 39(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak digantung sampai mati.
Dalam perkembangan berkaitan, Norhayati telah menetapkan 3 Januari 2019 sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu hasil laporan kimia.
Sesi pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fuad Abdul Aziz sementara tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Kosmo! Online melaporkan pada 27 September lalu, cubaan seorang lelaki bujang tempatan berusia 26 tahun untuk menyeludup 54 ketulan mampat ganja seberat 54 kg dari Thailand untuk pasaran negara ini gagal apabila dicekup Aksem Perlis.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Aksem, Datuk Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, suspek itu ditahan anggotanya semasa melakukan pemeriksaan rutin di KM9.9 Wang Kelian, Kaki Bukit di sini kira-kira pukul 10.30 malam pada 26 September lalu.
“Suspek cuba mengaburi kesalahan yang cuba dilakukan dengan menggunakan sebuah kereta mewah Audi A4 berwarna kelabu.
“Namun, semasa pemeriksaan dilakukan, dia ternyata resah dan berada dibawah pengaruh dadah iaitu syabu.
“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan itu mendapati suspek menyembunyikan ketulan ganja yang berharga kira-kira RM135,000 itu di bahagian tempat duduk penumpang belakang yang telah diubah suai.
“Lebih licik 54kg ketulan mampat ganja yang dibalut dengan plastik lut sinar itu hanya boleh diambil dengan menggunakan alat kawalan jauh khas kerana ditutup dengan kusyen tempat duduk belakang kenderaan itu,” katanya dipetik sebelum ini. – K! ONLINE











