IPOH 2 Okt. – Seorang penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya di sebuah rumah di Kampung Batu Besi, Ladang Sengat, Simpang Pulai di sini dua tahun lalu.
Hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali membuat keputusan tersebut setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir pembelaan.
Mengikut pertuduhan, N. Sanderasegaran, 30, didakwa melakukan pembunuhan terhadap S. Durga Devi, 17, di sebuah rumah di Kampung Batu Besi, Ladang Sengat, Simpang Pulai kira-kira pukul 11 malam 27 Februari hingga 6 pagi 28 Februari 2016.
Lelaki terbabit didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Irwan Suainbon manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ranjit Singh.
Seramai 12 saksi pendakwaan dipanggil memberikan keterangan manakala pihak pembelaan mengemukakan tiga saksi termasuk tertuduh. – UTUSAN ONLINE










