Penduduk terus tinggalkan Palu - Utusan Malaysia

Penduduk terus tinggalkan Palu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PALU 6 Okt. – Ribuan penduduk di sini terus membanjiri Lapa­ngan Terbang Mutiara Palu, Sulawesi Tengah, hari ini dengan harapan dapat meninggalkan bandar yang baru dilanda bencana gempa bumi dan tsunami dengan memilih bandar-bandar lain di Indonesia sebagai destinasi pilihan mereka.

Tinjauan Detik.com mendapati, orang ramai dilihat masih menanti peluang agar dapat keluar dari Palu sama ada menggunakan pesawat tentera mahupun pesawat komersial ketika terdapat penerbangan ke Makassar dan Balikpapan de­ngan kapal terbang Hercules.

Mereka terus sabar beratur bahkan tidur di lapangan terbang menunggu giliran masing-masing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami sudah menunggu dari pagi dan perlu beratur kerana jumlah kerusi adalah terhad,” kata seorang penumpang, Ha­kim yang mahu menuju ke Surabaya.

Hakim yang berasal dari Magetan, Jawa Timur berkata, dia tinggal di Palu sejak beberapa tahun lalu kerana membuka perniagaan makanan di bandar itu.

“Ini mahu pulang ke kampung dahulu, belum tahu akan balik ke sini semula atau tidak. Yang penting selamatkan diri dahulu,” katanya.

Seorang lagi penumpang, Muhammad Iqbal berkata, dia sedang menunggu pesawat Lion Air menuju Surabaya namun sehingga saat ini dia bersama tujuh anggota keluarganya masih belum berlepas.

“Ini baru dipanggil untuk berlepas tapi pesawat belum juga datang, sepatutnya mereka jual tiket dan pastikan kami berlepas,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, pasukan penyelamat me­ngeluarkan amaran kesihatan terbaharu selepas lebih ba­nyak mayat ditemukan daripada sisa runtuhan bandar Palu, hari ini.

Jurucakap kerajaan berkata, angka kematian meningkat kepada 1,649 orang dengan lebih daripada seribu orang masih hilang ketika harapan untuk menemui mangsa yang masih hidup semakin samar.

Terdapat kebimbangan ma­sih banyak mayat reput tertimbus di Petobo dan Balaroa, kedua-dua kawasan seolah-olah ditelan bumi dan terhapus terus dari peta.

“Kebanyakan mayat yang ditemui sudah tidak sempurna dan itu mendatangkan bahaya kepada pasukan penyelamat kerana perlu berhati-hati bagi mengelak pencemaran,” kata jurucakap bagi pasukan mencari dan menyelamat Indonesia, Yusuf Latif.

Yusuf berkata, pasukan ke­selamatan telah memberikan vaksin kepada pasukan tetapi mereka perlu lebih berwaspada.

Sementara itu, Menteri Ke­selamatan Indonesia Wiranto menambah, kawasan terjejas teruk gempa sepatutnya diisytiharkan sebagai kubur besar dan dibiarkan tanpa diusik.

“Kita perlu membuat keputusan sehingga bila pencarian mayat mangsa ini perlu dilakukan dan membuat keputusan kawasan yang sepatutnya dijadikan sebagai sebuah kubur besar,” katanya. – AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini