KANGAR 4 Okt. – Rata-rata penduduk di sekitar Taman Sena Indah di sini membantah tindakan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang merampas gerai seorang warga emas, Jamaluddin Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pak Din,68, di kawasan itu semalam.
Kebanyakkan mereka menyokong Pak Din meneruskan perniagaan yang diusahakan warga emas itu sejak 20 tahun lalu di kawasan tersebut menerusi tandatangan yang dikumpul sejak tahun 2016 lagi.

Bagi mereka, kewujudan gerai berkenaan yang terletak di bahu jalan kawasan taman itu langsung tidak menggangu lalu lintas atau menyusahkan orang awam sebaliknya rasa tidak puas hati itu hanya datang daripada seorang individu.
Seorang penduduk, Mohd Ismail Hashim,75, berkata, dia tidak melihat gerai yang terletak di bahu jalan itu memberi gangguan kepada orang awam sebaliknya kewujudannya memudahkan penduduk di sini membeli pelbagai jenis kuih-muih.
Katanya, kebanyakkan penduduk di sini sudah biasa membeli kuih di gerai tersebut dan berharap Pak Din dapat meneruskan perniagaannya selepas ini.
“Takkan hanya disebabkan aduan seorang individu, MPK boleh mengambil tindakan. Saya harap MPK dapat memberi pertimbangan sewajarnya dengan kembali membenarkan Pak Din kembali berniaga di kawasan itu.
“Selain itu, ramai pengusaha kuih boleh menumpang mencari rezeki dengan menghantar kuih mereka di gerai itu,” katanya di sini hari ini.
Semalam Pak Din menzahirkan rasa bimbangnya memikirkan nasib lebih 30 pembekal yang terdiri daripada golongan memerlukan apabila gerainya di bahu jalan berhadapan kediamannya yang menjadi tempat mereka meletakkan pelbagai jenis kuih muih di Taman Sena Indah di sini dirampas oleh MPK.
Lebih menyedihkan, perniagaan yang diusahakan Pak Din sejak 20 tahun lalu itu ‘hilang’ dalam sekelip mata hanya disebabkan oleh aduan seorang individu kepada pihak berkuasa berkenaan kononnya kewujudan gerai tersebut mengganggu laluan di tempat awam.

Sementara itu, anak Pak Din, Afendi Jamaludin,39, berkata, pihaknya mengumpul tandatangan penduduk sejak tahun 2016 dan usaha itu akan diteruskan bagi mendapat maklum balas mereka mengenai kewujudan gerai tersebut yang dikatakan menggangu orang awam.
Katanya, setakat ini, kita telah mengumpulkan lebih 30 tandatangan penduduk dan kebanyakkan lagi turut menyokong gerai tersebut dibuka di kawasan berkenaan.
“Tidak ada sebab gerai tersebut dirampas memandangkan penduduk lain juga menyatakan sokongan untuk melihat bapanya terus berniaga di kawasan itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











