IPOH – Seorang lelaki yang dipercayai membunuh bapanya dengan memenggal kepala dan mengerat badan kepada enam bahagian di Kampung Kanthan Baru dekat Chemor di sini semalam ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Selasa depan.
Perintah tahanan reman terhadap suspek yang berusia 52 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Salwa Ja’far di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi.
Lelaki yang diberkas semalam itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, suspek dibawa ke mahkamah pada pukul 11.05 pagi dengan diiringi beberapa anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Kosmo! Online semalam melaporkan gara-gara tidak tahan kerap dimarahi bapanya kerana menghisap syabu, seorang penganggur bertindak kejam dengan memenggal kepala warga emas itu sebelum badannya dikerat enam dalam kejadian di Kampung Kanthan Baru di sini kelmarin.
Mayat You Su Kim, 74, ditemui di dua lokasi iaitu dalam sebuah tangki kumbahan najis sedalam 1.5 meter dan dalam lubang yang digali di belakang rumahnya. Jarak tangki kumbahan dan lubang digali suspek ialah kira-kira 12 meter.
Kejadian ngeri tersebut disedari anak perempuan warga emas itu pada pukul 9 pagi selepas dia menemui beberapa kesan darah di tilam, bantal dan dinding rumah tersebut.
Susulan penemuan mayat warga emas berkenaan, polis menahan anak lelaki mangsa yang berusia 52 tahun pada pukul 1.32 petang ketika suspek baru sampai ke rumah tetapi cuba melarikan diri. – K! ONLINE










