Pemuda UMNO cadang Zahid bercuti - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO cadang Zahid bercuti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Pergerakan Pemuda UMNO sebulat suara mencadangkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar bercuti seketika daripada jawatan pre­siden parti sehingga kes pertuduhannya di mahkamah selesai.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Waj­di Dusuki berkata, cadangan ini bagi membolehkan Ahmad Zahid memberi tumpuan terhadap kes pertuduhannya di mahkamah.

Beliau berkata, cadangan itu tidak mempunyai sebarang sentimen atau niat jahat untuk menjatuhkan Ahmad Zahid, sebaliknya bagi memberi kebaikan kepadanya supaya dapat berehat.

“Kami memohon Ahmad Za­hid untuk mempertimbangkan cuti seketika daripada menja­lankan tugas-tugas parti. Tidak adil bebankan Ahmad Zahid dalam keadaan UMNO terus bergerak ke hadapan.

“Berehat bukan bukti dia bersalah atau lepaskan jawatan. Kita minta dia bercuti dan berehat untuk memfokuskan kes yang dihadapinya sehingga selesai,” katanya selepas menghadiri mesyuarat bulanan Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn di sini. hari ini.

Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jumaat lalu dengan 45 pertuduhan melibatkan 10 pertuduhan pecah amanah dan lapan pertuduhan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta.

Asyraf Wajdi berkata, cada­ngan Pemuda UMNO itu akan disampaikan kepada Ahmad Zahid dalam satu perjumpaan hujung minggu ini.

Katanya, jika Ahmad Zahid bersetuju untuk cuti berehat, tempatnya boleh dipangku oleh mana-mana calon yang sesuai mengikut pilihan Majlis Ter­tinggi UMNO.

“Pemuda UMNO ingin melahirkan rasa simpati dan dukacita dengan tuduhan yang terpaksa dihadapi presiden. Bagi kami, seseorang itu perlu diberikan keadilan dan dibicarakan di mahkamah, bukan secara terbuka.

“Dalam perkara ini, kita kena kembali kepada prinsip asas Islam iaitu seseorang itu tidak bersalah sehingga disabitkan bersalah. Itu konsep rules of law,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN