KANGAR 15 Okt. – Selepas selesai proses pengundian di enam buah negeri termasuk sembilan cabang di Selangor semalam, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kembali mendahului Rafizi Ramli dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR dengan kelebihan hanya 757 undi.
Disebalik kelebihan itu, calon PKR Cabang Arau, Asrul Nizan Abd. Jalil percaya, Rafizi akan kembali merapatkan jurang atau mendahului Azmin apabila lebih 6,000 ahli parti itu di Perlis dijangka memilih bekas Ahli Parlimen Pandan itu dalam pemilihan PKR negeri ini, pada minggu depan.
Asrul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena berkata, beliau yakin ahli PKR negeri ini akan memberi sokongan kepada Rafizi untuk bergandingan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden selepas ini.
“Perlis dijangka menjadi negeri yang boleh membantu kejayaan Rafizi selain beberapa negeri lain yang turut akan berlangsungnya pemilihan minggu depan.
“Pada masa ini, Rafizi tidak ketinggalan jauh dan akan terus mengejar Azmin dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden yang semakin sengit,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, gandingan antara Anwar dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bakal disaksikan sekali lagi selepas Presiden PKR itu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Sabtu lalu.
“Saya harap gandingan ini akan memimpin negara ke arah lebih baik termasuk dalam usaha melaksanakan manifesto Pakatan Harapan,” katanya.- UTUSAN ONLINE










