PEMILIHAN PKR seluruh Johor berjalan lancar melibatkan 24 cabang bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang semalam. Seramai 10,725 daripada 37,934 ahli PKR yang layak mengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Keputusan penuh diketahui malam tadi namun Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR hanya akan memuktamadkan keputusan untuk cabang di Johor setelah Peti Undi Ragu dibuka.
Pemilihan di peringkat negeri pada kali ini menyaksikan 53 calon bertanding merebut jawatan ketua cabang manakala 163 calon lagi menawarkan diri untuk jawatan timbalan ketua cabang, naib ketua cabang dan anggota jawatankuasa cabang.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse masing-masing terus diberikan kepercayaan mengekalkan jawatan sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PKR negeri.
Menariknya Wee Tse yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri menang tipis dengan hanya 33 undi merebut jawatan Ketua Cabang PKR Pulai menentang A. Sivagami Devi. Wee Tse memperoleh 193 undi manakala Sivagami 160 undi.
Sementara Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir, tokoh muda PKR yang disifatkan sebagai giant killer selepas menewaskan Tan Sri Abdul Shahrir Samad pada Pilihan Raya Umum ke-14, menang jawatan Ketua PKR Cabang Johor Bahru (220 undi) menewaskan pencabarnya (121 undi).
Bukan rahsia lagi pemilihan PKR kali ini menyaksikan pertembungan dua kem antara Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Bagi pemilihan di Johor, Mohamed Azmin setakat ini memperoleh 4,503 undi mendahului Rafizi (3,976 undi) bagi merebut jawatan timbalan presiden PKR.
Mereka mempunyai dua wakil dalam kerajaan negeri menerusi Wee Tse dan Setiausaha PKR, Mohd. Khuzzan Abu Bakar yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri. Ini adalah penghormatan dan peranan besar yang dapat dimainkan PKR negeri.
PKR yang kini merupakan mempunyai kuasa perlu memastikan amalan kronisme, nepotisme dan liberisme tidak wujud dalam pentadbiran kerajaan negeri selain gejala rasuah seperti yang berlaku pada pentadbiran terdahulu dihapuskan.










