KANGAR 18 Okt. – Pemasangan sebuah alat pemancar telekomunikasi di tingkat dua sebuah bangunan kedai di Gapura Square di Padang Besar yang mencetuskan bantahan penduduk di kawasan berkenaan adalah memenuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Setiausaha Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Wan Ahmad Fazli Wan Kamis berkata, sesuatu pembinaan alat pemancar perlu mendapat kelulusan jurutera bertauliah serta sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pemasangan itu memenuhi peraturan ditetapkan.
Katanya, melalui garis panduan, pembinaan struktur sistem pemancar boleh dipertimbangkan di atas bumbung bangunan atau bahagian-bahagian bangunan lain yang sesuai.
Ujarnya, semua jenis bangunan termasuk kediaman boleh dipertimbangkan pemasangan alat pemancar tersebut sekiranya memenuhi semua syarat yang ditetapkan.
“Bagaimanapun hendaklah dipastikan pembinaan semua struktur mengambil kira dan memelihara ciri estatika bangunan atau keharmonian dengan tampak bangunan,” katanya di sini hari ini.
Semalam, lebih 500 penduduk dari kawasan Gapura Square dan Kampung Melayu di Padang Besar membantah pemasangan sebuah alat pemancar telekomunikasi di tingkat dua sebuah bangunan kedai di kawasan tersebut.
Dalam masa sama, mereka juga mempersoal tindakan MPK yang memberi kelulusan pemasangan alat pemancar telekomunikasi tersebut yang didakwa tidak mengikut spesifikasi atau syarat-syarat yang ditetapkan pihak berkuasa.
Malah penduduk juga bimbang kewujudan pemancar komunikasi yang terletak berhampiran penempatan penduduk itu akan menyebabkan kesihatan dan keselamatan mereka terjejas.
Kata Wan Ahmad Fazli lagi, setiap pembinaan alat pemancar tersebut perlu dipastikan ketinggian struktur tidak melebihi separuh ketinggian permukaan tampak bangunan atau 12 meter yang mana lebih rendah.
“Ketinggian alat pemancar itu adalah 9 meter iaitu tidak melebihi 12 meter seperti mana ditetapkan. Jadi perkara itu tidak menjadi isu,” katanya.










