SHAH ALAM – Seorang pemandu lori maut selepas lori yang dipandunya dihempap kontena yang jatuh pada ketinggian 12 meter dalam kejadian di sebuah syarikat pengangkutan di Taman Perindustrian Subang Utama di sini tengahari tadi.
Dalam kejadian pukul 12. 50 tengahari itu, Suady Anuar, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Azmel Kamaruddin berkata, berdasarkan maklumat awal kejadian dikatakan berlaku ketika kerja-kerja pengalihan kontena seberat sembilan tan tersebut dari sebuah lori kepada lori yang dipandu mangsa.
“Bagaimanapun, ketika proses pengalihan tersebut hujung kontena itu telah terjatuh lalu menghempap bahagian kepala lori mangsa.
“Mangsa yang duduk di bahagian pemandu didapati meninggal dunia akibat insiden tersebut,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Azmel menambah, pihaknya kemudiannya dengan bantuan syarikat berkenaan menggunakan kren bagi mengangkat kontena terbabit sebelum mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Jelas beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Shah Alam dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE









